Skip to main content

Anugerah




Cinta Mama & Papa

Pada usia kehamilan kita seminggu iaitu setelah 8 hari selepas proses persenyawaan berlaku, blastocyst (kini mengandungi 200 sel) merembeskan mukus untuk memberitahu kehadirannya di dalam rahim.

Masuk minggu ke-2, blastocyst menggelembung dan sel-sel mula berkembang dan terbahagi kira-kira 2 kali sehari sehinggalah pada hari yang ke 12 jumlahnya telah bertambah dan membantu blastocyst terpaut atau disauh dengan kukuh pada endometrium.

Kemudian masuk minggu ke-3 selepas proses persenyawaan berlaku, saiz embrio terbentuk dan saiznya hanyalah sepanjang 0.08 inci/2 mm. Gen janin mula hendak membentuk dalam 3 lapisan benih(sel) daripada organ badan yang akan bergabung.

Pada minggu ke-4 berikutnya, janin kita sudah mulai membentuk struktur asas manusia dimana sel-sel mula bergabung dan pada masa itu embrio sudah mulai memanjang kira-kira 1/4 inci / 6 mm.Pada masa ini sudah kelihatan pembentukan otak dan tulang belakang serta anggota lain seperti jantung yang mengepam darah ke paru-paru dan aorta (urat besar yang membawa darah daripada jantung).


Pada minggu ke -5, anda mungkin tidak kelihatan hamil pada masa ini, namun, jantung embrio, yang lebih kecil dari biji kaskas, sudah mula berdenyut dan mengepam darah. Jantung mula membahagi kepada kamar-kamarnya dan dalam sedikit masa akan mendapat ritma denyutan yang baik. Panjang embrio lebih kurang suku inci / setengah sentimeter dan rupanya lebih mirip berudu daripada manusia. Ia membesar dengan cepat pada minggu ini.

Organ utama, seperti ginjal dan hati, mula muncul. Tiub saraf, yang menyambungkan otak dan korda spina, akan tutup pada minggu ini. Anggota bawah bayi mula tumbuh - ini akan menjadi tangan dan kaki bayi anda. Usus sedang berkembang dan apendiks bertempat di ruangnya. 

Di bawah pembukaan yang akan menjadi mulut bayi anda, lipatan-lipatan kecil muncul yang akan menjadi leher dan rahang bawah bayi. Seawal minggu ini, raut muka sudah mula terbentuk. Lubang hidung lebih kelihatan dan versi terawal retina mata mula timbul. Dapatkan maklumat tentang folik asid yang diperlukan oleh anda. 

Saiz embrio sebesar kacang dhal di minggu ke-6. Sekiranya anda boleh melihat ke dalam tubuh anda, anda akan mendapati bahawa kepala fetus lebih besar daripada badannya. Raut muka embrio sedang membentuk dan terdapat bintik hitam di mana matanya patut berada, juga terdapat pembukaan-pembukaan di tempat lubang hidung, dan lubang-lubang yang menandakan telinga. 

Kudup-kudup membonjol menjadi lebih kelihatan sekarang dan ini akan menjadi tangan dan kaki. Tangan dan kaki embrio seakan-akan dayung. Perkembangan lain termasuk pertumbuhan kelenjar pituitari dan gentian otot. Anda belum dapat mendengarnya, tetapi jantung (yang kini terbahagi kepada kamar kanan dan kiri) berdenyut sekitar 150 denyut per minit - dua kali ganda kadar denyutan anda.

Pada pertengahan minggu ini, embrio mula membuat pergerakan-pergerakan pertamanya. Walau bagaimanapun, anda terpaksa menunggu sehingga satu masa dalam trimester kedua sebelum dapat menikmati sensasi dari sesi-sesi senaman bayi anda.

Minggu ke-7, panjang embrio dalam setengah inci / 1.25 sentimeter, saiz sebiji anggur, dan ia mempunyai jari tangan dan jari kaki yang jelas, namun berselaput. Ia seakan-akan biji kacang yang berlompat-lompat, memecut dan berhenti, kemudian memecut semula. Hati bayi terus mengeluarkan jumlah sel darah merah yang banyak sementara menunggu sumsum mengambil alih peranan ini.


Anda sekarang berada dalam keadaan geliang-geliut trimester pertama, di mana ramai wanita berungut tentang ketidakselesaan dan sakit-sakit. Anda mungkin tak dapat menahan muntah, sebab anda sedang menghidapi mabuk hamil, sebahagian daripada akibat hormon-hormon kehamilan dalam badan anda. Anda mungkin terasa hendak kencing lebih kerap dari biasa - uterus anda yang berkembang menekan pundi kencing anda, dan hormon juga menjejaskan imbangan cecair dalam badan anda. Semua ini akan berkurangan apabila kehamilan anda berlanjutan.
so tiny... ^__^

Pada minggu ke-8, embrio telah bergelar fetus, yang bermakna "zuriat". Uterus anda meregang untuk memuatkan penghuni baru ini, yang sekarang berukuran sekitar 0.6 inci / 1.6 sentimeter. Banyak perubahan berlaku pada minggu ini - ekor embrio telah hilang, dan semua organ, otot dan saraf mula berfungsi. Sekarang tangan boleh dibengkokkan di pergelangannya, dan jari kaki yang berselaput dahulu beransur hilang. Kelopak mata mula menutupkan mata. 

Kehamilan anda mula menukar bentuk badan anda juga. Payudara anda mungkin membesar sehingga anda memerlukan bra yang boleh menyangga dengan lebih kuat daripada bra lama. Anda akan menyedari yang ukuran pinggang anda mula bertambah, sehingga anda terpaksa menyimpan jean kegemaran anda sehingga tahun depan. Jika anda banyak meminum air mengandungi flourida - lapan gelas atau lebih sehari - anda sudah tentu mendapat cukup flourida dan ini akan mengintegrasikan kalsium dan fosforus dengan kukuh ke dalam gigi dan tulang bayi anda yang sedang berkembang itu.  

Menjelang kehamilan pada minggu ke-9 & 10, anda mungkin merasakan yang anda sedang menaiki roller coaster emosi, kadang kala merasa serba tak kena dan pada masa lain merasa amat gembira. Walaupun ini mengganggu setengah wanita yang menganggapkan mereka cekap mengawal perasaan, apa yang anda lalui adalah normal dan mungkin akan berlarutan sepanjang kehamilan. Emosi turun-naik disebabkan hormon-hormon yang menyemarak.

Di penghujung minggu, panjang fetus anda di sekitar 0.9 inci / 2.3 sentimeter. Dari segi bentuk dan saiz, rupanya mirip lenggai kacang pea. Kelopak mata bercantum dan tidak akan buka sehingga 27 minggu kehamilan. Pergelangan tangan lebih matang, pergelangan kaki sudah nyata dan jari kaki kelihatan jelas. Lengan semakin memanjang dan boleh dibengkokkan di siku. Menjelang akhir minggu, butiran dalaman telinga sudahpun sempurna. Walaupun anda belum lagi dapat menentukan jantina fetus melalui ultrasound, alat kelaminnya sudah mula terbentuk. Kini plasenta telah cukup matang dan mampu menyokong hampir semua tugas mengeluarkan hormon yang kritikal. 

Sekiranya anda belum lagi berjumpa dengan pakar obstetrik/ginekologi, anda perlu membuat rancangan untuk pemeriksaan antenatal, dan kami mempunyai panduan lengkap tentang ujian-ujian antenatal. Jika anda berumur lebih daripada 35 tahun atau mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit tertentu, anda mungkin mahu mempertimbangkan ujian sampel vilus korion (CVS), satu ujian antenatal yang lazimnya dijalankan antara 10 minggu dan 12 minggu kehamilan, yang menapiskan kecacatan kelahiran dan keabnormalan.  

Minggu ke-11, anda hampir sampai ke penghujung trimester pertama. Banyak dari perkembangan kritikal bayi akan selesai dalam dua minggu lagi, dan kemungkinan keguguran akan berkurangan secara ketara.


Diukur dari mercu kepala ke punggung, fetus 1.5-inci / 4-sentimeter anda mempunyai semua bahagian-bahagiannya, dari kudup gigi ke kuku jari kaki. Bayi anda sibuk menendang dan meregang; pergerakan-pergerakannya amat lemah-gemalai sehinggakan seperti balet air. Jari-jari tangan dan kaki sudah terpisah sepenuhnya. Kini, tugas utama fetus dalam tempoh enam bulan ke hadapan ialah untuk terus membesar dan menjadi semakin kuat sehingga ia boleh meneruskan kehidupan secara bersendirian di luar rahim.


Satu garisan pigmen gelap yang menegak linea nigra, mungkin akan muncul di abdomen anda. Uterus anda sudah naik dan mengatasi tulang pelvis anda dan sekarang doktor anda akan boleh merasanya semasa pemeriksaan luaran.

Muka bayi anda lebih mirip rupa manusia, pada minggu ke-12, walaupun panjangnya dari mercu kepala ke punggung hanya sekitar 2 inci / 5.5 sentimeter dan beratnya kurang sedikit dari setengah auns / 14 gram. Matanya, yang pada mulanya muncul di sisi kepala, telah berganjak dan lebih rapat. Telinga hampir sampai ke posisi normal di sisi kepala. Hati mengeluarkan hempedu dan ginjal mengalirkan kencing ke dalam pundi kencing.  

Jika abdomen anda ditusuk-tusuk, fetus akan bergeliang-geliut, walaupun anda tidak akan terasa pergerakan ini. Sel-sel saraf fetus sedang giat membiak dan sinaps-sinaps (penghubung saraf dalam otak anda) sedang terbina. Fetus telah memperolehi lebih banyak refleks: jari tutup jika tapak tangan disentuh, jari kaki bergulung ke bawah jika tapak kaki disentuh dan jika disentuh kelopak mata, otot mata akan menggenggam.

Pada masa ini, doktor anda sudah dapat merasakan bahagian atas uterus, juga dikenali sebagai fundus yang terletak rendah di bawah abdomen.

Apabila anda memasuki trimester kedua, anda akan mula memakai baju yang lebih longgar yang tidak menghalang pergerakan. Tak lama lagi, pakaian biasa anda tidak muat dan tak dapat dipakai lagi.

Anda mula menyedari bahawa selera anda pun kembali semula setelah perasaan "mabuk" menghilang. Rujuklah bagaimana hendak makan secara baik pada minggu-minggu berikutan. 

Minggu ke-13 panjang fetus hampir 3 inci / 7 hingga 8 sentimeter dari mercu kepala ke punggung dan beratnya hampir satu auns / 23 gram - agak separuh pisang. Sidik (garis-garis) jarinya yang unik telah terbentuk. Dan jika anda menusuk perut anda dengan perlahan dan dia merasakannya, bayi anda akan menunjukkan refleks mengakar - iaitu bertindak seperti mencari-cari puting.

Bagi anda pula, seandai kata, kabus beransur reda. Untuk kebanyakan wanita, kesan sampingan kehamilan awal - kerap kencing, terik keletihan, mual - beransur reda di trimester kedua. Uterus anda pula, yang sudah cukup besar untuk menyiarkan kepada sesiapa yang melihat yang anda sememangnya hamil, tidaklah begitu besar sehingga mengganggu pergerakan anda. Walaupun masih banyak bulan lagi sebelum melahirkan, payudara anda sudah mula mengeluarkan kolostrum, iaitu cecair yang akan membekalkan makanan untuk bayi anda untuk beberapa hari pertama sebelum susu mengalir dengan baik. 

Dari mercu kepala ke punggung, panjang bayi anda adalah sekitar 3 setengah inci / 9 sentimeter, dan beratnya satu setengah auns / 43 gram. Sekarang, badannya membesar dengan lebih cepat daripada kepala. Di minggu ini, kulitnya yang halus senipis kertas itu menutupi badannya dengan lanugo (bulu halus dan lembut yang lazimnya gugur sebelum kelahiran). Walaupun bulu kening mula timbul dan rambut di kepala pun tumbuh, ianya boleh bertukar tekstur dan warna sebelum kelahiran.

Minggu ke-14  fetus boleh memegang, mengecilkan mata, mengerut dahi dan menyeringai. Ia juga mungkin boleh menghisap jarinya. Penyelidik percaya bahawa pergerakan-pergerakan ini dan yang lain mungkin berlaku beriringan dengan perkembangan impuls dalam otak. Baca lebih lanjut mengenai pergerakan bayi anda semasa kehamilan. 

Jika anda belum lagi membuat janji temu untuk pemeriksaan serum maternal (juga dikenali sebagai ujian tiga serangkai), eloklah dilakukan sekarang. Ujian ini menyediakan informasi lanjut tentang bayi anda, dan menapis bagi sindrom Down dan kecacatan lain. Juga, doktor anda mungkin mengesyorkan amniosentesis antara minggu ke-15 hingga ke-18 bagi wanita berumur lebih dari 35 tahun dan mereka yang mempunyai sejarah kecacatan kelahiran. Jika umur anda lebih dari 35, lihatlah artikel kami mengenai bagaimana umur mempengaruhi kehamilan.


Minggu ke-15, anda mungkin tidak sedar ianya berlaku, tetapi penghuni kecil anda kerap tersedu-sedu, satu perlakuan yang dikuasai bayi sebelum bernafas. Bayi tidak mengeluarkan sebarang bunyi sebab trakea mereka bertakung air dan bukan udara.

  Walaupun badan anda telah naik berat antara 5 ke 10 paun / 2.2 ke 4.5 kilogram, berat fetus anda hanya sekitar 2.5 auns / 70 gram. Panjangnya dari mercu kepala ke punggung hampir 4 inci / 11 sentimeter. Kaki membesar sehingga lebih panjang dari lengan, kuku sudah terbentuk sempurna dan semua sendi dan anggota boleh bergerak. Anda mungkin dapat mengetahui jantina bayi anda dengan ujian ultrasound, sebab genital luarannya sudah berkembang sehinggakan doktor sudah dapat memberitahu anda samada anak itu lelaki ataupun perempuan.

Jika sebelum ini idea yang anda akan mendapat seorang bayi itu belum begitu nyata, anda akan betul-betul sedar yang ini satu hakikat apabila bayi anda bergerak untuk pertama kali. Ramai bakal ibu merasakan pergerakan (diberi nama "gerakan pertama" di antara minggu ke-16 hingga minggu ke-20. Jika anda sudah biasa hamil, anda akan menyedari perkara-perkara seperti ini lebih awal lagi. Yang anda sangkakan perut berderam-derum mungkin bayi anda bergerak tunggang terbalik. Rekodkan bila anda mula merasakan pergerakan bayi dan beritahu doktor anda apabila berjumpa dengan dia nanti. Kehamilan di tahap pertengahan ini adalah masa yang baik untuk anda mula bersenam.

Minggu ke-16, saiz bayi anda sekarang lebih kurang sebiji avokado (panjang dari mercu kepala ke punggung sekitar 5 inci / 11.6 sentimeter dan berat sekitar 4 auns / 100 gram). Dalam tiga minggu ke hadapan ini ia membesar secara memecut, menambahkan beratnya dua kali ganda dan panjangnya beberapa inci.

Di dalam atau di luar rahim, bayi merupakan mahluk yang suka bermain. Bayi anda mungkin telah menjumpai mainan pertamanya - tali pusat - yang dia suka menarik dan mencekau. Kadangkala ia akan menggenggamnya begitu kuat menyebabkan jumlah oksigen yang lalu masuk berkurangan, tapi jangan khuatir - dia tidak memegangnya terlalu lama untuk memudaratkan. Sistem peredaran dan trek kencing sudah berfungsi sepenuhnya, dan dia menyedut masuk dan mengeluarkan cecair amnion melalui paru-parunya.

Kadangkala, apabila anda bergerak secara serta-merta, anda akan terasa sakit sedikit di sisi anda. Ligamen-ligamen di kedua belah uterus anda dan dinding pelvis sedang meregang ketika bayi anda membesar. Anda sudah tentu merasakan sakit-sakit ringan, tetapi sekiranya ia berlanjutan atau bertambah kuat, beritahu doktor anda.

Mingu ke-17, panjang bayi anda sekarang hampir 5.5 inci / 13 sentimeter dari mercu kepala ke punggung dan berat sekitar 5 auns / 140 gram. Hampir semua rangka tulangnya berunsurkan rawan liat, yang akan mengeras kemudian. Satu bahan pelindung bergelar myelin mula membalut korda spina dengan perlahan-lahan.
 
Dengan bantuan stetoskop khas, anda sekarang sudah boleh mendengar denyutan jantung bayi anda. Tiada yang lebih menyenangkan atau menguja daripada bunyi denyutan jantung bayi yang sedang menderap-derap. Pada hari-hari anda terasa bimbang tentang apakah kemajuan kehamilan anda, mendengar denyutan jantung bayi memberitahu anda yang dia sedang berkembang dan membesar. Pada masa-masa anda bosan dan terasa seolah-olah kehamilan anda tiada kesudahannya, ia memberi peringatan manis tentang apa yang akan disambut kelak setelah menunggu selama 40 minggu.

Uterus anda yang kian membesar telah mengalihkan pusat graviti anda dan anda mungkin merasa agak kurang seimbang. Berhati-hatilah dan pakailah kasut tumit rendah. 

Panjang bayi anda pada minggu ke-18 sekitar 6 inci / 14.2 sentimeter dari mercu kepala ke punggung dan berat sekitar 7 auns / 190 gram. Dadanya bergerak turun naik seakan-akan bernafas tetapi dia tidak menyedut udara, hanya cecair amnion.

Skan ultrasound semasa trimester kedua menilai pertumbuhan dan perkembangan fetus, selain menapis beberapa kecacatan kelahiran, memeriksa plasenta dan tali pusat, dan menentukan samada jangkaan umur gestasi adalah tepat. Semasa skan ini, anda mungkin dapat melihat bayi anda membuat pergerakan menendang, membengkokluruskan badan, mencapai, bergolek atau menghisap jari. Bawalah suami bersama, tetapi samada dia turut bersama atau tidak, pastikan anda mendapatkan salinan gambar bayi dalam pelbagai gaya.  

Jika bayi anda perempuan, vagina, uterus dan tiub falopio sudahpun berada di tempatnya. Jika ia lelaki, genitalnya adalah jelas dan boleh dicamkan. Jika kandungan anda lebih dari satu bayi, rujuklah bahagian tentang kembar dua atau lebih.

Minggu ke-19, anda sudah berada di pertengahan jalan! Bahagian atas uterus anda sudah mencecah pusat anda dan uterus akan membesar lebih kurang satu sentimeter per minggu. Ukuran fetus sekitar 6 inci / 15 sentimeter panjang dari mercu kepala ke punggung dan berat sekitar 9 auns / 240 gram.

Dia sudah mula menelan cecair amnion dan ginjalnya terus mengeluarkan kencing. Rambut atas kepala sudah mula tumbuh.   

Perkembangan deria memuncak pada minggu ini. Sel-sel saraf yang bekerja untuk setiap deria - rasa, bau, dengar, lihat dan sentuh - sedang berkembang di ruang-ruang khusus di dalam otak. Penghasilan sel-sel saraf menjadi lebih perlahan apabila sel-sel saraf yang sedia ada menjadi besar dan membuat hubungan-hubungan yang lebih kompleks. Jika kandungan anda itu perempuan, dia sudahpun memiliki sekitar enam juta telur dalam ovari. Menjelang kelahiran, dia akan memiliki satu juta.

Anda akan merasakan tendangan dan pergerakan tunggang terbalik bayi anda yang kian membesar. Ada masa-masanya, dia terlalu banyak bergerak sehinggakan anda tidak dapat tidur. Sepuluh minggu ke hadapan ini merupakan masa paling sibuk dan aktif bagi bayi anda, tetapi ini akan berkurangan apabila rahim menjadi terlalu sempit. Tidak lama lagi, pasangan dua akan menjadi tiga dan banyak perubahan akan berlaku.

Minggu ke-20, bayi anda berukuran lebih kurang 6.5 inci / 16.5 sentimeter dari mercu kepala hingga ke punggung dan terus-menerus menambahkan berat badannya. Satu lapisan bahan yang licik dan putih bergelar verniks kaseosa mula membalut bayi anda dan melindungi kulitnya semasa dia berendam lama dalam cecair amnion. Ianya juga akan menyenangkan pelahiran. Pada minggu ini, bayi lebih banyak menelan dan ini merupakan latihan yang baik untuk sistem pencernaannya. Setelah bayi anda menelan cecair amnion, badannya akan menyerapkan air yang terkandung di dalamnya dan menyalurkan selebihnya ke dalam usus besar.
Anda mungkin mahu mengikuti kelas antenatal jika anda belum lagi berbuat demikian. Samada anda ibu buat pertama kali atau hanya mahu mengulang kaji, anda akan mendapat manfaat apabila mengikuti kelas berstruktur. Apapun falsafah di sebaliknya, kelas antenatal boleh menyediakan anda bagi menghadapi semua kesukaran dan kesakitan kelahiran. Anda harus merancang untuk menamatkan kelas menjelang 37 minggu kehamilan, sebab pada masa itu anda dianggap sudah cukup bulan dan pelahiran boleh bermula bila-bila masa.

Berhati-hatilah dalam memastikan anda mendapat zat besi yang mencukupi. Bayi anda memerlukannya bagi pembuatan sel-sel darah merah, antara lain. Sebenarnya, adalah sukar untuk anda mendapatkan jumlah yang terlalu banyak dari makanan semata-mata, kecuali dengan memakan secara berlebihan. Makanan yang kaya dengan zat besi adalah antara lain, daging merah tanpa lemak, ikan, kekacang lentil, bayam dan bijirin yang diperkuatkan dengan zat besi. Lihatlah panduan makan secara baik kami untuk melengkapkan semua maklumat yang anda perlu ada.

Minggu ke-21, berat bayi sekarang sekitar tiga-suku paun / 360 gram. Selama ini dia diukur dari mercu kepala hingga ke punggung tetapi mula dari masa ini dia akan diukur dari mercu kepala ke tumit. Dan dari mercu kepala ke tumit panjangnya ialah 10.5 inci / 27 sentimeter. Bulu kening dan kelopak mata telah tumbuh sepenuhnya dan kuku jari tangan sudah menutupi hujung jari.  

Bayi anda sekarang boleh mendengar perbualan-perbualan anda. Jika anda bercakap, membaca atau menyanyi kepada bayi anda, dia pasti boleh mendengarnya. Beberapa kajian mendapati bahawa bayi baru lahir akan menghisap dengan lebih kuat apabila anda membacakan buku yang dia pernah dengar semasa dalam kandungan. Jika anda mahu mencuba, ambillah buku dan bacalah dengan kuat. Cuma pastikan yang anda tidak akan keberatan membacanya berulang-kali apabila bayi telah lahir. Ia mungkin akan menjadi cerita sebelum tidur yang paling disukai bayi anda untuk masa yang lama selepas dia dilahirkan.

Hari-hari kebelakangan ini, anda mungkin merasa lebih selesa. Ini sebenarnya, mungkin masa yang paling menyeronokkan dalam tempoh kehamilan anda. Anda belum begitu besar lagi, dan sakit-sakit yang dikaitkan dengan kehamilan seperti mual, kencing kerap dan keletihan sudah hampir hilang sama sekali. Relakslah dan nikmatinya selagi anda boleh. Trimester ketiga akan tiba tak lama lagi dan ia akan membawa sedikit ketidakselesaan kerana anda mengandung bayi yang sudah hampir cukup bulan. 

Minggu ke-22, berat bayi sekarang hampir satu paun / 430 gram, dan dia berukuran hampir 11 inci / lebih sedikit dari 27 sentimeter dari mercu kepala ke tumit, dan sudah terbentuk seperti bayi baru lahir, tetapi kurus, sebab lemak bayinya belum datang lagi. Walaupun beratnya semakin meningkat setiap hari, kulitnya masih kelihatan berkedut-kedut dan dia masih perlu menambahkan berat badannya. Bibir sudah jelas kelihatan dan mata telah terbentuk, walaupun iris (bahagian mata yang berwarna) masih kurang gelap. Pankreas, yang sangat perlu bagi pengeluaran hormon, sedang berkembang dengan baik.  
Pada peringkat yang seawal inipun, tanda-tanda pertama gigi telah tumbuh dalam bentuk kudup-kudup di belakang garisan gusi. Tak lama nanti, bayi anda akan lahir, dan tak lama selepas itu, gigi pertama akan muncul.

Anda mungkin telah bertambah berat badan antara 12 hingga 15 paun / 5.4 dan 6.8 kilogram. Bermula dari sekarang, anda akan menambahkan berat badan secara konsisten, dengan purata lebih kurang setengah paun / 225 gram setiap minggu. Anda mungkin mengidamkan makanan tertentu dan anda mungkin menyedari yang lelehan vagina anda berlebihan (tapi tidak berdarah). Kedua ini adalah perkara normal dalam kehamilan.
 
Minggu ke -23, berat bayi anda sekarang lebih sedikit dari satu paun / 500 gram dan dia berukuran lebih kurang 11.4 inci / 29 sentimeter dari mercu kepala ke tumit. Pendengarannya telah mantap sepenuhnya dan dia boleh mengecam satu versi suara anda yang pincang, selain bunyi denyutan jantung anda dan bunyi deram-derum perut anda. Bunyi-bunyi kuat yang boleh didengarinya dari dalam rahim, seperti bunyi anjing sebelah rumah menyalak atau bunyi tempikan pembersih vakum, mungkin tidak akan mengganggu anak anda apabila dia mendengarnya semasa dia di luar rahim. Kajian tertentu seakan-akan menyatakan yang bayi belum lahir lebih gemarkan muzik klasik. 
Selain kemajuan-kemajuan dalam pendengaran, paru-parunya sedang melalui perubahan-perubahan untuk menyediakannya untuk bernafas. Dia sentiasa menelan tetapi dia tidak akan membuang air besar (digelarkan mekonium) sehingga selepas dilahirkan.

Jika bayi anda dilahirkan sekarang, dia mempunyai kemungkinan kecil (lebih kurang 16 peratus) untuk meneruskan hidup dengan penjagaan yang sesuai. Setiap hari dia berada dalam rahim memberinya peluang yang lebih baik untuk meneruskan hidup. Jika dia dilahirkan pada 24 minggu kehamilan, peluangnya untuk terus hidup akan meningkat kepada 44 peratus.

Anda pula akan merasa pergerakan anda canggung sebab pusat graviti anda telah berganjak. Gusi anda mungkin berdarah apabila anda menggosok gigi dan pusat anda yang dahulunya "tenggelam", sekarang sudah membonjol. Jangan bimbang. Ia akan kembali kepada keadaan asal sebaik sahaja anda melahirkan. 

Minggu ke-24, berat bayi anda lebih dari 1.3 paun / 600 gram. Walaupun dia mempunyai hanya sedikit lemak badan dan kulitnya nipis dan mudah pecah, dia sekarang sudah mempunyai bentuk badan yang sempurna. Otaknya tumbuh dengan pantas, dan dia semakin memenuhi ruang dalam rahim anda. Dari mercu kepala ke tumit dia berukuran 11.8 inci / 30 sentimeter. Sekiranya pelahiran anda nampak seakan-akan hendak bermula, sudah pasti pakar obstetrik dan doktor akan melakukan segala-galanya untuk menghentikan perjalanan kelahiran pramatang supaya bayi anda boleh terus-menerus matang.

Anda mungkin kelihatan jalur-jalur merah atau coklat yang malap yang merupakan tanda perut meregang, bergelar stria kehamilan yang terdapat di abdomen, punggung dan payudara anda. Krim tidak boleh menghilangkannya, tetapi, memakai bra yang menyokong boleh menghindarkan atau mengurangkan jalur-jalur ini di payudara anda. Jalur-jalur ini memang terjadi di tahap kehamilan ini - lebih kurang 90 peratus wanita mendapatnya. Sesudah anda melahirkan, pigmen kemerahan atau kecoklatan pada jalur-jalur itu akan mula hilang, dan menjadi lebih pudar dari di kulit kelilingnya.

Juga, mata anda akan menjadi sensitif kepada cahaya dan akan terasa kering dan seakan-akan berpasir. Ini merupakan simptom kehamilan yang biasa bergelar "mata kering". Untuk meredakan ketidakselesaan anda, gunakanlah larutan "airmata tiruan" untuk menambahkan kelembapan. Diet yang sihat adalah penting pada tahap kehamilan ini, jadi lawatilah bahagian makan sempurna kami di minggu 25-28.
 
Minggu ke-25, berat bayi anda sekarang hampir 1.5 paun / 660 gram dan panjangnya dari mercu kepala ke tumit lebih kurang 13.5 inci / 35 sentimeter. Dia membuat pergerakan bernafas tetapi tidak terdapat udara dalam paru-parunya setakat ini. Pada 26 minggu, skan otak fetus menunjukkan bayi memberi respon terhadap sentuhan. Jika anda menyuluh lampu ke arah abdomen anda, bayi anda akan memalingkan kepalanya, dan mengikut penyelidik, ini bermakna saraf optiknya sudah berfungsi. 
Semasa setiap lawatan antenatal, doktor anda akan mengambil tekanan darah anda dan melakukan ujian-ujian tertentu ke atas sampel air kencing anda. Dengan ini, keadaan-keadaan yang berkaitan dengan kehamilan seperti pra-eklampsia dan kencing manis dapat dikesan dan dirawat.

Jari tangan anda, pergelangan tangan dan lengan mungkin terasa sakit-sakit dan kebas. Terowong karpus pada pergelangan tangan telah menjadi bengkak, sama seperti lain-lain tisu dalam badan anda. Saraf-saraf yang merentasi terowong itu sudah tersepit, menyebabkan tekanan yang dimanifestasikan sebagai sakit menyucuk atau membakar. Memakai pendakap boleh melegakan, begitu juga mengambil vitamin B6. Berbincanglah dengan doktor anda tentang lain-lain cara untuk menahan sakit. Dapatkan maklumat tentang pemulihan natural untuk jari kebas atau sakit.

Minggu ke-26, ukuran bayi anda, apabila mengukurnya dari kepala ke jari kaki sambil meluruskan kakinya, ialah 14 inci / 35.6 sentimeter. Beratnya lebih sedikit dari 1.6 paun / 760 gram. Mata bayi anda mula membuka di sekitar masa ini. Responnya terhadap bunyi-bunyian semakin konsisten menjelang penghujung bulan ketujuh, apabila jaringan saraf-saraf ke telinga sudah siap terbentuk. Di terus menyedut nafas kecil-kecilan dan walaupun dia hanya menyedut air dan bukan udara, ini masih merupakan latihan yang baik untuk dia selepas dilahirkan kelak.

Oleh sebab bayi anda membesar dengan pantas, dan perkembangan otak begitu giat pada masa ini, pemakanan anda adalah amat penting. Teruslah memakan diet seimbang yang merangkumi banyak bijirin dan sayur. Makanan yang kaya dengan sarat, termasuk roti bijian sempurna dan bijirin, kekacang dan beras ceruh mengandung banyak vitamin B dan membantu mencegah sembelit.  

Kelas antenatal anda harus sudah bermula dalam satu-dua minggu berikutan ini, atau mungkin sudah bermula. Kelas-kelas ini sepatutnya menyediakan anda dengan informasi yang baik dan jelas tentang kelahiran dan hari-hari awal keibubapaan. Melengkapkan diri dengan maklumat akan membantu menenangkan apa jua keraguan anda tentang melahirkan bayi. 

Minggu ke-27, bayi anda sekarang berat 2 paun / 875 gram dan berukuran 14.5 inci / 36.6 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Matanya membuka dan menutup, dan dia tidur dan berjaga mengikut jarak masa yang teratur dan mungkin menghisap jari dan ibu jari.


Mimpi-mimpi manis, si kecil tersayang! Sebilangan pakar percaya yang bayi mula bermimpi menjelang minggu ke-28. Apakah yang mereka mimpikan? Tiada siapa yang tahu dengan pasti tetapi otak mula aktif pada minggu ini juga. Jejalur unik atas permukaan otak mula timbul dan tisu otak bertambah dengan lebih banyak.

Apa yang menyebabkan pergerakan beritma yang anda rasakan sebenarnya ialah sedu-sedan bayi anda, dan ia kerap berlaku pada minggu ini dan sepanjang kehamilan. Bayi anda mengalaminya tetapi menyedut cecair amnion, bukan udara. Sudah tentu beg kertas tidak akan menghilangkan sedunya, namun, sesuatu episod tersedu itu hanya berlanjutan untuk sekejap masa sahaja. Sensasi itu agak aneh bagi anda, tetapi bukanlah merupakan sesuatu yang tidak menyenangkan.

Oleh sebab uterus anda sekarang sudah naik dan berdekatan dengan sangkar rusuk anda, anda mungkin merasakan susah bernafas atau anda sudah merasakan kesesakan ini lebih awal lagi. Bermula sekarang dan sepanjang tiga bulan terakhir kehamilan, anda mungkin dilanda kejang betis, hemoroid, vena varikos dan gatal-gatal abdomen. Adakah ketidakselesaan kehamilan membuatkan anda kurang gembira? Cubalah beberapa cara pemulihan natural untuk menceriakan anda.

Sekiranya anda didapati Rh-negatif di awal kehamilan, anda mungkin diuji untuk antibodi Rh pada minggu ini atau minggu hadapan dan menerima suntikan anti-D untuk melawan ketakserasian yang ada. Anda mungkin ditawarkan suntikan ulangan pada 36 minggu kehamilan.

Minggu ke-28, anda sekarang berada di penggal terakhir. Trimester ketiga lazimnya bermula pada 29 minggu kehamilan dan berakhir pada 40 minggu kehamilan, kadang kala lebih lanjut dari itu. (Jangan bimbang - maksimumnya ialah 42 minggu! Lebih dari itu, wanita lazimnya dicetuskan untuk melahirkan.) Kebanyakan wanita menambah berat badan sebanyak 11 paun / 5 kilogram semasa semester ini.  

Menjelang minggu ini, berat bayi anda ialah sebanyak 2.3 paun / lebih sedikit dari 1 kilogram dan mungkin berukuran 14.8 inci / 38 sentimeter panjang dari atas ke jari kaki. Sekitar masa ini, bayi anda yang di dalam rahim itu sudah boleh membuka matanya dan memalingkan kepalanya jika dia ternampak cahaya terang yang memancar terus menerus dari luar. Lapisan lemaknya sedang terbentuk dan kuku jari mula timbul.

Anda mungkin mengalami perasaan berbolak-balik apabila mengenangkan sakit bersalin dan melahirkan. Menyediakan senarai perkara-perkara yang perlu dibuat dan meraitkannya satu-persatu akan membantu. Mulalah memilih nama-nama bayi yang sesuai dan mulalah memikirkan tentang kehidupan selepas kelahiran juga. Anda juga mungkin berjumpa dengan doktor anda dengan lebih kerap lagi di minggu-minggu terakhir ini. 

Minggu ke-29, berat bayi anda lebih kurang 2.5 paun / 1.1 kilogram dan ukuran panjangnya 15 inci / 38 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Bagi lelaki, testikel menurun dari tempat berdekatan buah pinggang lalu merentasi groin dan terus ke skrotum. Bagi perempuan, kelentit masih menonjol sebab belum lagi ditutup oleh bibir vulva yang masih halus. Ianya akan membesar dan menutupi kelentit dalam minggu-minggu terakhir sebelum kelahiran.

Kepala bayi anda semakin besar, dan pertumbuhan otaknya adalah amat pantas pada masa ini. Hampir kesemua bayi menunjukkan reaksi kepada bunyi menjelang 30 minggu.  

Keperluan pemakanan bayi anda akan berkemuncak semasa trimester ketiga. Anda akan memerlukan sejumlah besar protin, vitamin C, folik asid, zat besi dan kalsium (lebih kurang 200 miligram diserapkan ke dalam kerangka tulang bayi setiap hari). Jadi, makanlah makanan yang kaya dengan nutrien-nutrien ini. Kerangka terus mengeras dan otak, otot-otot dan paru-paru menjadi semakin matang. Dengan itu, lihatlah panduan makanan sempurna kami bagi memastikan anda mendapatkan mineral dan vitamin yang mencukupi. 

Minggu ke-30, paru-paru bayi anda dan saluran penghadaman hampir matang sepenuhnya. Walaupun bayi anda mungkin lebih perlahan dalam menambahkan ukuran panjangnya dari sekarang (dia berukuran 15.7 inci / 40 sentimeter dari mercu kepala ke jari kaki sekarang), dia akan terus menambahkan beratnya sampai masa dia dilahirkan. 
Pada minggu ini, bayi anda terus menerus membuka dan menutup matanya. Dia sudah boleh melihat apa yang sedang berlaku dalam rahim, membezakan cerah dari gelap dan boleh juga mencari punca cahaya.

Jika anda memancarkan lampu suluh ke atas perut anda, bayi akan menoleh kepala untuk mengikuti cahaya itu atau menghulurkan tangan untuk menyentuh cahaya yang bergerak itu. Beberapa penyelidik berpendapat bahawa mendedahkan perut anda kepada cahaya merangsang perkembangan visual. Namun, jangan pula mengharapkan penglihatan 20/20 di masa bayi dilahirkan - bayi baru lahir hanya boleh melihat setakat jarak lebih kurang 8 hingga 12 inci / 20 hingga 30 sentimeter. (Kanak-kanak yang mempunyai penglihatan normal tidak mencapai penglihatan 20/20 sehingga umur antara tujuh hingga sembilan tahun.) Untuk melengkapkan gambaran perkembangan ini, bayi anda sudah mempunyai bulu kening dan bulu mata.

Lebih kurang satu setengah pain / sekitar satu liter cecair amnion sekarang mengelilingi bayi anda tetapi volum ini akan menyusut apabila bayi membesar dan ruang dalam rahim bertambah sempit baginya. Apabila anda dan bayi anda menjadi semakin besar, janganlah merasa takut pula jika anda merasakan sesak nafas, atau merasakan seakan-akan anda tidak mendapat udara yang mencukupi; ia hanya uterus anda menekan diafragma anda. Bagaimanapun, di akhir terowong gelap yang dilalui ini, ada cahaya. Di 34 minggu kehamilan (atau sejenak sebelum pelahiran, jika kehamilan ini yang kedua atau ketiga bagi anda), kepala bayi anda akan bergerak turun memasukki pelvis anda dan terus mengambil posisi yang sesuai untuk kelahiran. Ini akan melegakan pernafasan dan pemakanan anda.

Minggu ke-31, lengan bayi anda, kaki dan badan terus membesar - dan akhirnya sama padan dengan saiz kepala bayi anda. Beratnya lebih kurang 3.3. paun / 1.5 kilogram dan dia sudah kelihatan seperti bayi baru lahir. Ukuran panjangnya lebih kurang 16 inci / 41 sentimeter dari mercu kepala ke jari kaki. 
Anda mungkin sedar yang bayi anda tidak lagi bergerak sebegitu giat seperti dahulu. Jangan bimbang; dia tidak lagi mempunyai begitu banyak ruang dalam uterus anda. Selagi anda terasa dia menggeliang-geliut, anda tahu dia sihat sejahtera. Jangan tak percaya pula, dia masih perlu membesar lebih banyak lagi. Dia dijangka boleh naik berat badan dua paun / 900 gram lagi sebelum kelahiran.

Organ bayi anda terus mematang dan dia membuang air kecil dari pundi kencingnya: Ini persediaan yang baik untuk melatih dia kencing selepas kelahiran. Tak lama lagi anda boleh meramal apakah yang diidam-idamkan oleh bayi anda - skan otak menunjukkan yang fetus mempunyai waktu-waktu tidur bermimpi pada bulan kelapan.

Anda mungkin telah meningkat berat badan sebanyak tiga hingga empat paun / 1.3 hingga 1.8 kilogram pada bulan ini. Adalah normal bagi berat badan naik satu paun / 460 gram seminggu semasa trimester terakhir sebab bayi anda mengalami satu lonjakan pertumbuhan terakhir sebelum dia dilahirkan.  

32 minggu, berat bayi anda sekarang lebih kurang 3.75 paun / 1.7 kilogram dan panjangnya lebih kurang 17 inci / 42 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Walaupun paru-parunya belum akan matang sepenuhnya sehingga hampir dekat masa dilahirkan, anak kecil anda menyedut cecair amnion untuk menguatkan paru-parunya dan berlatih untuk bernafas.
Bagi sesetengah bayi, rambut sudahpun memenuhi kepala, tetapi ada juga bayi hanya mempunyai beberapa gumpal rambut sahaja. Rambut lebat semasa lahir tidak bermakna rambut lebat di kemudian hari, namun begitu, lazimnya kanak-kanak yang mempunyai rambut halus di zaman kanak-kanak akan mempunyai rambut yang jarang semasa dewasa.

Jika bayi anda lelaki, testikel sepatutnya turun dari abdomen dan masuk ke dalam skrotum. Namun kadangkala, satu testikel atau kedua-duanya tidak akan turun masuk ke tempatnya sehingga selepas kelahiran. Bagi dua per tiga bayi lelaki yang mempunyai testikel tak turun semasa lahir, keadaan ini memulih dengan sendirinya menjelang umur satu tahun.

Anda mungkin menambahkan berat badan anda sebanyak satu paun / 450 gram setiap minggu, sebab dalam masa tujuh minggu sebelum lahir, bayi anda akan menambahkan lebih dari setengah berat lahirnya. Pastikan anda makan secara sempurna dalam minggu-minggu terakhir.

Minggu ke-33, berat bayi anda sekarang 4.2 paun / 2 kilogram dan panjangnya ialah lebih kurang 17 inci / 44 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Bayi anda sepatutnya sedang bersiap sedia untuk dilahirkan dengan menunggangbalikkan badannya - kepala harus sudah menjunam ke bawah

Doktor anda akan memberi perhatian yang rapi kepada posisi bayi dalam minggu-minggu yang akan datang ini – sebab sesetengah bayi kadangkala suka memusing balik semula.

Tengkorak bayi masih mudah dilentur dan belum lagi bertaut, untuk membolehkannya keluar dari kanal lahir yang agak sempit. Tetapi tulang di bahagian-bahagian lain dalam tubuhnya bertambah keras. Kulit bayi anda mula hilang kemerahannya dan kurang berkedut.

Jika anda ibu buat pertama kali, kepala bayi anda akan bergerak masuk ke dalam pelvis di minggu ini dan menekan serviks dengan kuat. (Ini sering berlaku kepada setengah daripada ibu-ibu yang melahirkan pertama kali.) Jika anda ibu buat kali kedua, ianya akan berlaku seminggu sebelum kelahiran - dan untuk sebilangan ibu, ianya tidak berlaku sehingga sakit bersalin dan melahirkan bermula. Adakah anda bercadang untuk menangani sakit bersalin secara natural? Di sini terdapat semua yang anda perlu tahu tentang kelegaan sakit secara natural.

Anda mungkin ternampak bahawa kaki dan pergelangan kaki anda menjadi bengkak menjelang ke petang. Retensi air, juga dikenali sebagai edema, adalah lebih teruk semasa cuaca panas dan di sebelah petang. Hairannya, banyak meminum air membantu mengurangkan retensi air. Badan anda - terutama sekali buah pinggang anda - dan bayi anda juga memerlukan banyak cecair, jadi minumlah air dengan banyak. Jika anda terasa bengkak-bengkak atau sembap di tangan atau muka dengan tiba-tiba, berhubunglah dengan doktor anda - ini mungkin tanda pra-eklampsia.

Minggu ke-34, berat bayi anda sekarang 4.7 paun / 2.2 kilogram dan panjangnya ialah lebih kurang 18 inci / 45 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Dia semakin gempal dan bulat - dia akan memerlukan lapisan-lapisan lemaknya untuk mengaturtepatkan suhu badannya.

Jika sebelum ini anda belum lagi mula bercakap dengan bayi anda, ini adalah masa yang baik untuk memulakannya - pada 35 minggu kehamilan, pendengaran bayi sudah terbentuk dengan sempurna. Jangan pula terasa malu jika anda sudahpun berbual menggunakan cakap pelat bayi. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa bayi baru lahir memberi lebih perhatian kepada nada suara yang tinggi. 

Jika anda merasa bimbang tentang kemungkinan berlakunya pelahiran pramatang, anda akan bersenang hati untuk mengetahui bahawa 99 peratus daripada bayi yang lahir pada 35 minggu kehamilan boleh hidup di luar rahim - dan majoriti tiada menghadapi masalah yang serius. Walaupun sistem saraf pusat bayi anda masih belum matang sepenuhnya, paru-parunya sudah hampir matang sepenuhnya sekarang.

Ramai wanita mula merasakan sensasi semut-semutan dan kebas di daerah pelvis atau rasa sakit apabila mereka berjalan. Ini mungkin disebabkan sendi-sendi pelvis meregang, sebagai persediaan untuk kelahiran. Jika anda merasakan betul-betul tidak selesa, beritahu doktor anda dan rujuklah tip-tip membantu diri

Minggu ke-35, berat bayi anda sekarang 5.25 paun / 2.4 kilogram dan panjangnya ialah lebih kurang 18 inci / 45 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Anda mungkin dapat melihat siku, kaki atau kepalanya menonjol dari perut anda apabila dia mengeliat dan bergeliang-geliut. Tidak lama lagi, apabila dinding uterus dan abdomen anda meregang sampai menjadi nipis dan membenarkan lebih banyak cahaya masuk, bayi anda akan mula mengaturkan aktiviti-aktiviti hariannya secara berkitaran.

Minggu ini si manja kecil sudah menunjukkan kuku-kuku jari dan mempunyai sepasang buah pinggang yang terbentuk sempurna. Heparnya sudah boleh memproses beberapa keluaran buangan.  

Cecair amnion semakin mengurang dan bayi lebih memenuhi ruang dalam uterus, yang telahpun berkembang seribu ganda saiz asalnya. Anda mungkin telah menambahkan berat badan anda antara 25 ke 30 paun / 11 ke 13.6 kilogram dan penambahan ini sampai memuncak pada minggu ini. Pusat anda pun sudah menjadi besar dan terbonjol keluar. Anda mungkin terasa agak sesak nafas sebab bahagian atas uterus anda telah naik dan mencecah tulang rusuk anda. Cuba ambil posisi merangkak atas tangan dan lutut jika mahu menarik nafas dalam. Walaupun tekanan ke atas pundi kencing anda menyebabkan anda kerap ke bilik air, jangan kurangkan minum air - bayi anda memerlukan banyak cecair. Tapi adalah baik jika anda mengurangkan minuman berjenis diuretik seperti teh dan kopi, sebab ia akan membuat anda kencing dengan lebih kerap. 
Doktor anda mungkin mahu berjumpa dengan anda setiap minggu sekarang sehingga anda melahirkan.

Minggu ke-36, bayi anda masih menambah berat badannya - lebih kurang 28 gram sehari. Beratnya hampir 6 paun / 2.7 kilogram dan panjangnya 19 inci / 45 sentimeter dari kepala ke jari kaki.

Anda mula merasakan tekanan di bahagian bawah abdomen anda dan juga sedar yang bayi anda sudah mula menurun. Ini diberi nama lightening iaitu peringanan, atau engagement iaitu penurunan kepala bayi; dengan ini paru-paru dan perut anda terasa lebih lapang - bernafas dan bermakan-makan akan menjadi lebih selesa. Namun begitu, perjalanan anda semakin kurang selesa - sebilangan wanita melaporkan yang mereka merasakan seakan-akan bayi hendak terkeluar. Juga, anda akan terasa seakan-akan sentiasa hendak ke tandas. Sediakan nutrisi yang diperlukan di masa penghujung ini dengan panduan makanan sempurna kami.

Berita baik ialah bahawa menjelang akhir minggu ini, kehamilan anda sudah cukup bulan dan anda akan melahirkan bila-bila masa. (Bayi antara 37 minggu dan 42 minggu dianggap cukup bulan - bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu ialah pramatang dan selepas 42 minggu ialah lewat waktu atau post-term.)

Semasa janji temu mingguan anda, doktor akan memeriksa anda untuk melihat samada anda sudahpun mendilitasi (apabila serviks membuka) dan mengembang (apabila serviks menjadi nipis). Doktor juga akan memeriksa apakah posisi bayi untuk menentukan sejauh mana bayi sudah jatuh ke dalam pelvis. Informasi ini akan dimasukkan ke dalam nota materniti anda supaya doktor anda maklum akan posisi bayi apabila tiba masa untuk melahirkan.  

Minggu ke-37,berat bayi anda hampir 6.5 paun / 2.8 kilogram dan panjangnya lebih kurang 20 inci / 50 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Kepala bayi anda sudah memasuki dan merangkumi kaviti pelvis anda - dikelilingi dan dilindungi oleh tulang pelvis anda. Posisi ini memberi lebih ruang kepada kaki dan punggung bayi yang semakin membesar.

Kebanyakan bayi sekarang sudah mempunyai rambut yang lebat, dan sepintal rambutnya adalah antara 1 inci / 2.5 sentimeter panjang. Sebenarnya, sesetengah bayi tidak mempunyai rambut langsung. 

Bercakap tentang rambut, hampir semua bulu lanugo yang menyaluti bayi anda dari masa dia 26 minggu sudah hilang, begitu juga sebahagian besar verniks kaseosa, iaitu bahan yang putih yang membalutnya. Bayi anda akan menelan lanugo itu bersama bahan pembalut, dan sekresi-sekresi lain dan menyimpan semua ini dalam ususnya.
Ini semua akan menjadi buangan najis pertama bayi, iaitu bahan kehitaman yang bergelar mekonium.

Sekitar masa ini ramai wanita bimbang samada mereka akan sedar apabila proses bersalin sudah bermula bagi mereka. Lihat sajalah bahagian sakit bersalin dan melahirkan kami.  

Minggu ke-38, bolehkah anda mengetahui samada mengandung bayi lelaki atau perempuan? Satu petunjuk ialah saiz bayi anda - lelaki selalunya lebih berat daripada perempuan. Bayi pada umur 39 minggu mempunyai berat badan sebanyak lebih kurang 6.8 hingga 7 paun / 3 hingga 3.2 kilogram dan dia terus menambahkan simpanan lemaknya yang akan membantunya mengaturtepatkan suhu badan selepas kelahiran. Sistem-sistem organ anak kecil anda sudah terbentuk dan bertempat sempurna, tetapi paru-paru adalah yang terakhir untuk mencapai kematangan. (Selepas bayi dilahirkan, dia memerlukan beberapa jam sebelum dapat memantapkan pola pernafasan yang normal.)  

Adakah anda tertanya-tanya apakah warna mata bayi anda? Kebanyakan bayi Asia dan Afrika mempunyai mata hitam kelabu atau coklat semasa dilahirkan - mata hitam kelabu mereka akan menjadi betul-betul coklat atau hitam selepas enam bulan atau setahun. Kanak-kanak kacukan bangsa selalunya mempunyai warna mata yang betul-betul cantik. Bayi keturunan Eropah selalunya mempunyai mata berwarna biru gelap dan warna sebenar - coklat, hijau atau biru - mungkin tidak akan muncul untuk beberapa minggu atau bulan lagi. Warna mata bayi anda pada saat-saat selepas kelahiran tidak akan berkekalan - dedahan kepada cahaya akan menukar warna mata bayi yang asal.

Minggu ke-39, panjang bayi biasa adalah antara lebih kurang 20.5 inci / 51 sentimeter dari kepala ke jari kaki dan beratnya lebih kurang 7.5 paun / 3.4 kilogram semasa lahir; namun begitu berat 5 paun 11.5 auns hingga 8 paun 5.75 auns / 2.5 hingga 3.8 kilogram adalah lingkungan yang sihat bagi bayi baru lahir.


Cecair amnion anda, dahulunya jernih, sekarang berwarna pucat seakan susu akibat penanggalan verniks kaseosa bayi anda. Lapisan atas kulit juga menanggal apabila kulit baru timbul.

Lazimnya, dalam program TV, sakit bersalin dan melahirkan selalunya bermula dengan pemecahan ketuban air – lazimnya berlaku di tengah bilik yang penuh dengan orang, dan kontraksi akan terus bermula. Jika anda bimbang yang senario ini akan berlaku kepada anda, hentikan sajalah. Ruptur membran berlaku bagi kurang dari 15 peratus kehamilan dan bila ia berlaku, kepala bayi bertindak sebagai penyumbat di pembukaan uterus. (Tetapi, jika anda berbaring, anda akan sedar ada cecair yang meleleh.) Anda seharusnya bertenang - kontraksi pertama hanya akan berlaku dalam beberapa jam lagi - dan hubungilah doktor anda dengan serta merta. Badan anda akan mengeluarkan lebih banyak lagi cecair amnion sehingga bayi dilahirkan, jadi penjaga-penjaga anda mungkin mencadangkan supaya anda duduk di rumah sehingga kontraksi bermula secara mantap atau mungkin mencadangkan pencetusan.

Apa pula halnya jika minggu ini berlalu dan bayi masih belum muncul? Jangan panik - hanya 5 peratus bayi dilahirkan pada tarikh yang dijangkakan. Kebanyakan doktor akan menunggu dua minggu lagi


Popular posts from this blog

Dalam Kenangan | Dr. Rasmani Md Zin

Sabtu 6/6/2020 jam 430 petang, dapat whatsapp dari group family. Paklang pengsan di klinik. Dalam hati aku mesti paklang letih bertugas. Kurang rehat barangkali.  Aku cuba call Nabiha. Panggilan tak berjawab. Aku call pula Arif. Arif jawab panggilan sambil tersedu. Lain macam ni. Dia cakap tunggu doktor cek. Paklang masih  belum sedarkan diri lagi. Allah.. aku dah tak sedap hati. Aku pesan apa-apa nanti update dalam group family Semenyih. Nabiha return call semula. "Kakly..." dia menangis kuat.. Aku sabarkan dia. Pulse paklang dah tak ada. Tunggu official dari doktor". Aku diam. Tak mungkin. Aku berharap doktor akan cuba yang terbaik untuk sedarkan paklang.  Aku call mak . "Mak, paklang pengsan kat klinik. Dah dibawa ke HUKM". Aku cuba ringkaskan info.  Mak dah tak tentu arah. Allah..allah dengar mak mengucap. Aku cakap tunggu berita dari Arif, Mak kata ok. Mak tunggu. Jam 500 petang, Arif update di group family Semenyih. "Assalam, dukacita dimaklu...

HFMD

bibir membengkak bintik-bintik dalam lidah dan sekitar mulut bintik ti tapak tangan She's only 5. Periang, suke menyanyi, menari dan banyak mulut. Dah dua hari dia demam. Tak nak makan.. Minum susu aje. Tu pun susah nak hisap botol sebab sakit mulut. Malam tadi die mengadu sakit mulut. Abg dan kakak ipar aku cek di sekitar mulut dan dalam mulut dia ade bintik-bintik. Terus bawa ke Pusrawi Kajang. Doc sahkan dia terkena HFMD. Ya Allah... masa abg aku call mak bgtahu malam tadi, mak aku dah sedih. Cucu kesayangan dia sakit. Mak ambil Dettol dan pencuci lantai terus mop lantai. Sambil mop sambil sedih.. Huuu...  So dia kene kuarantin di rumah. Sekolah dah diberitahu so harap dorang dapat buat cleaning satu sekolah sebelum bdk lain terkena. Tak sure my niece kene kat skolah atau di rumah..tp pembersihan dan pencucian perlu dilakukan di kedua-dua tempat (rumah & sekolah).  *Kakak cepat sembuh ye..nanti boley maen dengan Putri lagi..* Kopipes : Wikipedi...

Pennzoil - Ride It Right Putrajaya

 29/05/2011 Pennzoil Shah Alam telah mengadakan Konvoi Ride It Right sempena Cubprix 2011 di Putrajaya. En. suami dah mencari beberapa name untuk join aktiviti ni. Dalam 40 buah motor telah terlibat dalam konvoi anjuran Pennzoil ini. Bagi SBRC yang dh lame menceburi aktiviti konvoi ni tiada masalah. Untuk yang baru menyertainya, mereka amat teruja!!. Can see on their face.. hehehe..  En. suami ditugaskan sebagai 'marshal'. Oh my, We will be leading this convoy!! Sure, I', so excited. They also!! Tak banyak gambar yang dapat aku klik. Sbb utama ialah keselamatan aku dan encik suami serta mereka yang dibelakang.  Takkan aku suka-suka nak lepaskan tangan untuk klik sana sini. Biar mereka yang mahir melakukannya. Hehehe.. lg pun photo banyak di klik oleh bro Ruzzm Belang. Nice shoot bro!! berkumpul sebelum bertolak.. MILO dulu!! berkonvoi menuju destinasi.. mencari parking.. baru sampai.. panas woo!! nice bike.. dream for riding this bikes.. souve...