Tak pernah aku bayang atau mimpi akan secepat ini kami akan berpisah. Semua yang berlaku sekelip mata. Hingga kini, aku masih terasa rasa abah masih di sisi.. Masih terngiang-ngiang suara dia. Terbau-bau haruman dia.
Kau bayangkan, tadi elok kau bercakap dengan dia. Sihat orang tua.. Lenguh-lenguh sendi. Keletihan. Tiba-tiba kau hanya merenung jasad yang kaku.
Allah.. Allah..Allah.. aku tak percaya. Tak mungkin... Tapi air mata ni mengalir bagai tak mahu berhenti. Hati ni remuk.
Petang 14hb Mac 2021, aku balik dari Sentul, nak hantar buah Sukun, kiriman mama Som. Abah mesti suka. Aku cakap dengan papa Zuwan, pa singgah rumah mak terus. Elok sampai, azan Maghrib. Terus siap-siap solat jemaah dengan abah dan papa Zuwan. Macam biasa, Abah imamkan.
Mak dah siap solat. Jaga budak-budak ni kejap. Selesai Maghrib aku siap nak balik. Esok budak-budak sekolah. Abah lama berteleku di sejadah. tak memandang ke belakang.
Aku kemas-kemas barang, abah panggil. Katanya dia semput. Macam susah nak bernafas. Dia minta pump asma Qayyim. Aku cakap kene ke klinik dulu abah. Dia kata tak apa, Isnin esok boleh pergi. Dia baring di katil depan.
Aku nak masuk kereta, dia ada duduk di kerusi ruang tamu. Hanya memandang kosong. Biasa dia datang peluk salam-salam budak2 ni. Aku masih ingat pandangan tu.
Sampai rumah, siap-siap nak tido, dapat panggilan dari emak. Pukul 11 malam. "Adik, abah sesak nafas." Aku panik. Aku minta mak panggilkan along di rumah sebelah. Aku terus telefon angah. Minta ambil aku di rumah. Budak-budak dah tido. Minta papa Zuwan jagakan anak-anak sekejap.
Angah sampai terus pecut ke rumah mak. Along tengah sapu-sapu minyak di belakang abah. Abah nampak tercungap-cungap. Allah.. terus bawa abah masuk kereta dan pecut ke Klinik As Salam Bangi. Abah semput. Aku, angah, mak dan abah 1 kereta.
Sampai As Salam, doktor terus periksa abah. Doktor cakap tanda-tanda radang paru-paru. Abah diberikan nebulizer. 2 kali. Bacaan oksigen abah makin menurun. Allah.. Doktor minta kebenaran untuk buat ECG. Selesai ECG doktor minta terus ke kecemasan. Abah semakin sesak nafas.
Laju menuju ke Kecemasan Hospital Kajang. Aku semakin resah. Mak menangis melihat keadaan abah. Abah masih mampu berzikir. Allah..
Tiba di kecemasan, doktor buat pemeriksaan awal. Mungkin Asma kata doktor. Abah dibawa masuk ke Zon Kritikal. Sempat abah serahkan kopiah dan jam tangan.
Aku terus ke Kaunter hasil untuk pendaftaran. Along sampai. Kami menunggu di depan Kecemasan.
Jam menunjukkan 1.20 pagi 15hb Mac 2021. Resah menunggu. Tiba-tiba doktor memanggil. "Waris En. ohd Yusob. Aku segera berlari ke arah doktor. Aku dah mak diberikan penerangan keadaan abah yang terkini. "Harap puan bertenang, En. Mohd Yusob kita telah intubate (tidurkan/dikomakan) kerana mengalami serangan jantung." Allahuakhbar!!! Aku rasa gelap. Lemah lutut. Along dan angah yang sedang tunggu diluar terpinga-pinga. Mak keliru.
Beberapa soalan doktor tanyakan. Abah hisap rokok ke tak? Ada darah tinggi ke tak? Semuanya tak. Abah cuma ada kencing manis. Ya, kerana kencing manislah abah disahkan mengalami serangan jantung. Bacaan kencing manis abah agak tinggi dan pastinya tak terkawal.
Aku dibawa masuk (atas permintaan mak) untuk berjumpa doktor untuk diberikan penerangan lebih lanjut keadaan abah. Waktu aku masuk ke dalam zon kritikal, aku lihat abah tak sedarkan diri. Tiub besar masuk ke paru-paru abah. Abah bernafas dengan bantuan mesin. Aku hanya mampu menangis semahunya. Allahuakhbar abah!!! Hati aku pedih. Rasa disiat-siat.
Doktor minta sampaikan pada waris yang lain, abah sekarang dalam keadaam kritikal. Tetapi stabil. Mereka akan sedaya upaya merawat abah. Tetapi keadaan abah yang sudah berada di tahap empat (serangan jantung) agak sukar untuk mereka janjikan apa-apa. Mereka perlu berjaga-jaga jika terdapat serangan jantung lagi yang mungkin akan menghentikan jantung abah. Allahukahbar...
Kata doktor, "puan, kita hanya boleh berdoa saja sekarang. semoga ada keajaiban" Aku hanya mampu merayu supaya doktor bantu apa yang patut. Tak sampai hati melihat keadaan abah begitu.
Aku keluar dan papah mak kembali ke along dan angah. Aku terangkan keadaan abah. Semua terdiam. Tak sangka. Sekelip mata jadi begini.
Masing-masing berteleku. Tak percaya ini semua terjadi. Allah.. along, angah, emak..Semuanya sugul. Apakah ujian ini ya Allah... Kami belum sedia apa pun. Aku merintih..
Jam 600 pagi kami dipanggil lagi oleh doktor. Abah akan dipindahkan ke Wad 2 CCU (Cardiac Care Unit). Minta kami bersedia untuk iringi abah. Angah terpaksa pulang ke rumah untuk mandi kerana dia tak berapa sihat.
Azan Subuh, abah ditolak ke Wad 2 CCU. Aku, emak dan along iringi abah. Kami menangis. Angah dalam perjalanan kembali ke hospital. Tiba di bangunan Wad, kami tidak dibenarkan masuk. Mereka minta kami tunggu panggilan daripada doktor.
Kami hanya boleh tunggu di bawah sementara menunggu doktor panggil. Aku bawa emak balik Subuh dahulu. Kemudian bergilir dengan angah dan along. Selesai semua bersihkan diri, kami kembali menunggu dibawah. Jam 11.00 pagi doktor minta naik ke atas untuk berjumpa dengan waris abah. Along dan angah minta aku naik ke atas.
Aku dapat masuk ke Wad 2 CCU untuk melihat abah. Luluh hati ini. Allahuakhbar abah... Aku menangis lagi. Doktor perkenalkan diri dan mula menerangkan keadaan abah yang terkini.
Hati, buah pinggang semua ok. Hanya paru-paru abah dipenuhi air kerana kegagalan jantung abah untuk berfungsi. Mereka cuba keluarkan air di paru-paru dan rawat jantung abah. Aku berdoa pada tuhan semoga abah dapat bertahan.
Aku turun dan terangkan pada along dan angah keadaan abah. Semua ambil cuti kecemasan. Termasuklah anak-anak. Hanya Muhammad, Qayyim dan Putri saja ke sekolah. Papa Zuwan uruskan mereka.
Malamnya kami tidak dapat tidur. Pertama kali abah tiada di rumah. Rasa ada yang tak kena. Janggal. Selasa aku mohon tambah cuti kecemasan untuk uruskan anak-anak dan abah.
Jam 900 pagi aku cuba telefon wad untuk ketahui keadaan abah. Doktor sibuk kata nurse, minta aku cuba telefon semula jam 11. Aku cuba telefon semula jam 1100 pagi, talian sibuk. Aku cuba lagi jam 1200 tengahari. Dapat bercakap dengan Doktor yang merawat abah. Doktor terangkan keadaan abah satu persatu. Abah ada perkembangan positif. Syukur!! Abah ada gerak-gerakkan tangan. Mereka juga cuba untuk kurangkan dos ubat. Berharap abah dapat bernafas semula dengan sendirinya tanpa menggunakan tiub mesin. Allah, aku lega. Jika abah stabil mereka akan pindahkan abah ke Hospital Serdang untuk dirawat oleh pakar jantung. Aku mohon doktor cuba yang terbaik untuk abah.
Selesai uruskan anak-anak hingga petang, aku bersiap untuk sediakan makan malam. Tunggu papa Zuwan balik kerja. Jam 700 malam, telefon berdering. Allah.. berderau darah. Panggilan daripada hospital. Doktor perkenalkan diri dan menerangkan keadaan abah.
Katanya abah dah sedar. Abah minta dibuka tiub dan mereka buka tiub mesin abah. Tapi jantungnya tiba-tiba berhenti, mereka (10 orang doktor) cuba untuk membuat CPR ke atas abah untuk menyelamatkan abah. Doktor minta aku datang ke hospital dengan segera. Aku terus meraung. memanggil mak dan along. "Cepat!! Ke hospital.. Abah!!..." aku tak dapat teruskan kata-kata. Aku hanya mampu meraung semahunya. Aku telefon angah dan minta dia segera ke hospital.
Bagaikan ada kuasa, tiba di hospital aku segera melompat keluar dari kereta dan berlari ke sekuriti. Minta dibenarkan naik ke atas. Doktor mahu berjumpa. Tak banyak soal, aku terus tarik mak berlari naik ke atas.
Doktor sambut ketibaan aku dan menerangkan keadaan abah. Mereka sedang lakukan CPR ke atas abah, sudah 15 minit berlalu. Ada baki lagi 10 minit untuk mereka lakukan CPR. Doktor minta aku menunggu di luar CCU. Allahuakhbar.. abah... aku meraung.
Baki lagi 5 minit, doktor panggil aku masuk ke katil abah. Melihat mereka melakukan CPR. Aku hanya merintih nama abah. Abah.. bangun abah... bangun..
Azan Maghrib berkumandang, doktor terus memberi arahan kepada doktor yang membuat CPR ke atas abah. Cukup katanya. " Dengan ini, saya Dr... mengesahkan kematian En Mohd Yusob Bin Kamat pada jam 730 malam akibat serangan jantung" Aku terus meraung abah!!! Aku jatuh terduduk. Emak terus berlari memeluk abah. Allahuakhbar... Abah... Astaghfirullahalazim.... Allahuakhbar abah...
Aku bangun memeluk dan mencium abah. Muka abah aku tatap. Rasa bercampur baur. Lidah kelu.
Aku terus menelefon along dan angah di bawah. Menyampaikan khabar duka. "Along....abah dah tak ada..." Along terus ucapkan "innalillahiwainnailaihirojiun..." Aku minta along dan angah naik ke atas. Rupanya mereka ditahan oleh sekuriti. Sebab itu mereka tak dapat naik. Aku minta kebenaran dari doktor untuk benarkan abang-abangku naik. Along dan angah naik selepas bertegang leher dengan sekuriti. Mereka terus memeluk dan mencium abah.
Along sibuk menelefon orang sana-sini. Memaklumkan pemergigan abah. Mereka juga terkejut. Tidak percaya. Ramai menangis. Kaum keluarga, sahabat handai dan semuanyalah menangisi pemergian insan mulia ini.
Selesai urusan di wad, abah dibawa turun ke bilik mayat untuk urusan dokumentasi untuk membawa jenazah keluar dan bawa ke rumah. Van Jenazah Masjid Kajang telah memaklumkan akan mengambil jenazah abah. (Pakcik yang menguruskan van jenazah adalah sahabat abah)
Jam 900 malam, abah tiba dirumah. Kedengaran suara tangisan. Aku hanya duduk di dapur. Aku kepenatan. Kepala rasa pusing. Selesai bacaan yassin, semua ambil giliran untuk menatap wajah abah. Semua menangis, abah pergi tiba-tiba. Tanpa pesan. Tanpa tanda. Tanpa apa-apa. Ramai menziarahi abah malam itu.
Selesai semua pulang, kami anak beranak duduk mengelilingi abah. Along tidur di sisi abah. Angah dan kakngah bergilir tidur. Menemani abah. Aku yang sakit kepala hanya dapat tidur-tidur ayam. Tak mahu lena.
Azan Subuh, semua bingkas bangun. Bersedia. Angah dan aku lumurkan lagi minyak untuk melembutkan sendi-sendi abah. Ya Allah, permudahkanlah urusan kami ya Allah. Jam 700 pagi dah ramai mula datang ziarah abah. Bergilir masuk menemui abah buat kali terakhir.
Jam 830 pagi, van jenazah tiba. Mak terus memeluk abah buat kali terkahir. Mencium buat sekian kalinya. Terpisahlah mak dan abah di dunia ini. Mak menangis semahunya. Aku segera memeluk mak. Abah diangkat kembali masuk ke keranda dan terus dimasukkan ke dalam van jenazah.
Along menemani abah di dalam van jenazah. Angah, kakngah, aku dan papa Zuwan naik satu kereta ikut belakang van jenazah. Tiba di masjid, rupanya lagi ramai yang menunggu abah. Abah di bawa masuk ke bilik mandi jenazah. Along, angah dan papa Zuwan serta beberapa orang kenalan abah menguruskan mandi jenazah.
Ramai yang bertanyakan apa yang berlaku, bagaimana dan kenapa. Aku hanya mampu menangis.
Selesai mandi jenazah, kami diberikan peluang untuk menatap abah buat kali terakhir. Aku terus meluru masuk. Aku mencium abah dan memeluk abah buat kali terakhir. Aku cuba untuk kuat. Tapi gagal. Aku keluar dan meraung semahunya. Betapa hati ini terlalu sedih.
Ya, seperti yang selalu kita dengar : "Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin"
Comments
Post a Comment